
Muay Thai ialah sukan tempur yang
berasal daripada seni perang purba Siam, Muay Boran. Seni ini berkembang
sebagai sukan tempur di seluruh dunia kerana keunikannya tersendiri. Oleh sebab
banyak kejohanan dianjurkan di peringkat tempatan dan antarabangsa, Muay Thai
kini menjadi pilihan kepada golongan belia di Malaysia tanpa mengira kaum dan
jantina untuk menjadikannya sebagai aktiviti masa lapang selain mempelajari
ilmu mempertahankan diri.
Generasi muda kini terutamanya remaja digalakkan mempelajari
Muay Thai sebagai satu asas persediaan menghadapi sebarang kejadian yang tidak
diingini terhadap diri mereka. Muay Thai perlu dipelajari terutama bagi
golongan wanita yang sering menjadi mangsa manusia yang tidak berhati perut.
Dengan mempelajari Muay Thai, ia mampu meningkatkan daya ketahanan fizikal dan
mental di samping meningkatkan keyakinan ketika berhadapan dengan situasi yang
mencemaskan kerana mereka yang dilengkapi seni mempertahankan diri mampu
berfikir dengan tenang dan menghadapi situasi tersebut dengan bijaksana.

Belia yang terlibat dalam Muay Thai
juga dapat mengelakkan diri daripada dadah. Belia yang tidak mempunyai aktviti
berfaedah biasanya mudah terjebak dengan dadah. Di Thailand, kerajaannya
memperkenalkan Festival Muay Thai Menentang Dadah setiap tahun yang dihadiri
lebih 70 buah negara. Terdapat pelbagai aktiviti yang disertai oleh belia untuk
menunjukkan sokongan mereka kepada kempen memerangi dadah. Pegawai, jurulatih,
petinju dan peminat akan bersama-sama melakukan aktiviti kemasyarakatan seperti
mendampingi remaja jalanan.
Muay Thai bukan sahaja mengajar bagaimana untuk mempertahankan diri daripada
serangan dan membalas serangan, tetapi elemen seperti tatasusila, adab sopan,
moraliti dan juga nilai-nilai murni juga ada diterapkan oleh jurulatih (kru)
yang mengajar agar pelatih bukan sahaja mahir dalam seni Muay Thai bahkan
mereka juga tahu membezakan yang mana baik dan yang mana buruk dan memanfaatkan
apa yang mereka pelajari semaksimum mungkin.
No comments:
Post a Comment